Melembutkan Hati Yang Membatu
Memang susah nak lembutkan hati yang sudah keras seperti batu bak kata pepatah ‘nak lenturkankan buluh biarlah dari rebungnya‘. Sueella sedang mengumpulkan petikan email2 pilihan Sueella untuk dimuatkan di blog ini. Moga apa yang dimuatkan di sini bermanfaat untuk tatapan bersama.
“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya ( hidayat petunjuk ) dari Tuhannya, ( sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan )? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.”
QS Az-Zumar : 22
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain ( tentang benarnya dan indahnya ), yang berulang-ulang ( keterangannya, dengan berbagai cara ); yang ( oleh kerana mendengarnya atau membacanya ) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya ( menurut undang-undang peraturanNya ) dan ( ingatlah ) sesiapa yang disesatkan Allah ( disebabkan pilihannya yang salah ), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya.”
QS Az-Zumar : 23
“Dan ( ingatlah ) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, ( dia pun memukulnya ), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak ( di antara mereka ) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. ( Dan Kami berfirman ):
Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”
QS Al-Baqarah : 60
“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.”
QS Al-Baqarah : 74
Saudaraku yang dikasihi Allah, sesungguhnya sifat batu adalah keras, walaupun demikian dapat dihancurkan sampai menjadi partikel yang sangat halus. Apabila batu telah berubah menjadi partikel lembut maka akan dapat digunakan sebagai bahan perekat dalam bangunan. Batu berubah menjadi lembut dapat terjadi dalam waktu singkat, iaitu dengan menggunakan pukulan benda keras, mithalnya dalam contoh kisah Musa dengan tongkat, dan disela-sela batu yang dipukul itu memancarlah sesuatu yang bermanfaat dan diperlukan oleh kehidupan manusia, sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah Allah :
“Dan ( ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya ( tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata ): Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami ) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah ( berbunuh-bunuhan) , padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman:
Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
QS Al-Baqarah : 30
Disamping itu, berubahnya batu yang keras menjadi partikel lembut dapat pula terjadi dalam waktu yang lama, iaitu dengan diberikan titisan air secara terus menerus.
Demikianlah ibarat kekerasan hati manusia yang membatu.
Perlakuan pukulan benda keras mahupun titisan air yang terus menerus tersebut pada prinsipnya untuk mengajar si nafsu tunduk sehingga hati menjadi lembut.
Hati yang membatu memang sukar untuk menerima sentuhan halus Ilaahiyah. Buktinya apabila dibacakan ayaat Al Quran tidak dapat tersentuh sehingga tidak ada getaran- getaran yang membahana di setiap relung hatinya ( sebagaimana pada contoh QS Az-Zumar : 23 ).
Hati Yang Keras Berbedz Dengan Hati Yang Lembut.
Hati yang lembut mudah sekali disentuh ayat-ayat Al Quran antara lain apabila mendengar azan bergema bergegas untuk sholat dan apabila dibacakan ayat-ayat Al Quran maka di dalam hatinya dirasakan ada sesuatu yang mudah menyentuh sehingga mudah menangis. Dia menangis kerana merasakan betapa rahmannya Allah kepadanya dan sampai kehabisan kata-kata untuk berucap terimakasih, mengingat dirinya yang masih penuh dosa-dosa tetapi kasih sayang Allah itu terus menjamah kepada dirinya.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ( yang sempurna imannya ) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah ( dan sifat-sifatNya ) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
QS Al-Anfaal : 2
Harum semerbak bunga melati di taman puri
Dijadikan hiasan mahkota mempelai puteri
Tanda/lambang kesucian dan kelembutan hati
Lembutnya hati bila berhiaskan Asma’ Illahi
Lembut tampaknya buih dihempas ombak
Terpukau mata seakan kabut yang berarak
Padahal buih sisa hempasan perasaan riak-riak
Ramai manusia seakan dirinya berakhlak
Padahal hatinya senantiasa memberontak
Akui berhati lembut, ternyata keras berpijak.
Baru disedari ternyata diri banyak tertipu
Menyangka hati telah lembut
Menyangka diri telah beriman
Menyangka diri telah berbuat baik
Menyangka dan menyangka
Yang selalu diulang dan menjadi bayangan diri
Bukankah ini khayalan yang pasti?
Kini… terlihat batu telah berada dalam suatu proses
Ternyata batu yang keras bukan sahaja dapat dipecahkan
Melainkan dapat pula dihaluskan laksana tepung
Ternyata disini pulalah letak ketinggian mutunya
Kerana telah berubah fungsi sebagai penghalus dan pengukoh suatu bangunan.
Oh… inikah maksud pelajaran dari melembutnya sebongkah batu
Tertunduk wajah menyimpan rasa malu
Sebuah ejekan menukik di diri sambil berkata…
Batu yang keras saja ternyata sabar memproses diri
Lalu bagaimana diri ini: “HATI” hakikatnya
Telah tercipta dalam keadaan lembut
Tidak mampu berproses menuju kelembutan
Mengapa diri tidak merasa malu dengan kekerasan hati
Bukannya hati yang mengeras….
Tetapi nafsulah yang menjadikan hati tampil mengeras
Sehingga tidak mampu hati tersentuh kelembutan Illahi
Sehingga tidak mampu hati menangkap isyarat berhikmah
Sehingga tidak mampu hati bergetar dan menangis,
Bila diingatkan dan disentuh ayat-ayat Al Quran.
Oh alangkah keras dan membatunya hati…
Saudaraku yang dikasihi Allah, berdasarkan rangkaian dan untaian kata bermakna di atas, maka diri yang senantiasa bertafakur kepada Allah dapat mengenal dan mengetahui tingkat kekerasan hati pada setiap saat tertentu, kerana tolok ukur yang digunakan telah disediakan iaitu: tersentuhnya hati apabila dikumandangkan ayat-ayat Al Quran.
Tersentuhnya hati oleh ayat-ayat Al Quran sifatnya automatik dan tidak dapat dibuat-buat. Perkara ini menunjukkan bahawa tanpa pertolongan dan petunjuk Allah mustahil hati yang keras itu dapat berubah menjadi lembut. Namun Allah juga tidak akan membukakan si manusia itu tanpa ada upaya si manusia itu sendiri untuk membuka hatinya. Disinilah bukti bahawa Allah menjamin penuh kebebasan manusia untuk menentukan sikap terhadap kekerasan hati yang dimilikinya.
Suatu perkara yang perlu disedari bahawa selamanya hati tidak akan berfungsi bila tali rasa rosak dan mati.
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran ( Al-Quran ) yang diturunkan ( kepada mereka )? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq ( derhaka ).”
QS Al-Hadiid : 16
Wahai Allah wahai Rabbi zat pendidik kami
Kerasnya hati kami, tidak pernah kau membenci
Engkau tersenyum melihat tingkah polah kami
Laksana seorang ibu selalu sabar menjagai
Rahmat terus kau beri agar tersedar diri ini
Sungguh kami adalah hamba yang tidak pandai mensyukuri
Wahai Allah wahai Rabbi tempat kami mengadu
Selangkah demi selangkah kami tinggalkan nafsu
Agar mencair hati yang selama ini keras membatu
Baru kami mengerti betapa pemurahnya sifatMu
Kami yang selama ini acuh dengan sabar kau tunggu
Oh ternyata kami adalah hamba yang tidak ingin tahu
Wahai Allah wahai Rabbi sumber segala bahagia
Banyak sudah hidup kami yang tersia-sia
Tanpa kami sedari kelak berakhir petaka
Kerana terlena pada keindahan fatamorgana
Mohon kiranya agar waktu yang masih tersisa
Untuk berbakti dan bersyukur sebagai hamba.
Dah habis baca? baca yang ini pula:
| Copy and Paste the code below | |
| Email and IM | |
| Websites | |
| Forums | |
